Friday, 30 May 2014

Kecekapan Penggunaan Elektrik

Assalamualaikum semua...



Hari ini saya akan terangkan kepada semua apa itu kecekapan penggunaan elektrik di sekeliling kita. Apa itu elektrik? Elektrik ialah istilah am bagi sebilangan jenis fenomena yang terhasil akibat kewujudan dan aliran cas elektrik. Bersama-sama dengan kemagnetan, ia membentuk saling tindak asas yang dikenali sebagai keelektromagnetan. Ia meliputi kebanyakan fenomena fizikal yang biasa dijumpai seperti kilat, medan elektrik dan arus elektrik. Elektrik juga digunakan dalam bidang perindustrian seperti elektronik dan kuasa elektrik. Tetapi apa kaitan antara elektrik dengan kecekapan penggunaan elektrik?

Kecekapan tenaga merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat dan berhemat. Sebagai pengguna, terdapat beberapa amalan kecekapan tenaga yang boleh mengurangkan perbelanjaan, menjimatkan kos sara hidup serta boleh mengelakkan pembaziran.

Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga. Program pelabelan cekap tenaga ini bertujuan untuk mengalakkan industri untuk menghasilkan barang-barang elektrik yang dapat menjimatkan tenaga.

Selain itu, sesebuah syarikat yang menyediakan barangan elektrik juga mempunyai kelebihan dari segi persaingan kerana barang mereka mempunyai label yang menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan tenaga elektrik.




Label cekap tenaga ini bertujuan untuk memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap barang elektrik yang cekap tenaga.

Bintang pada label cekap tenaga ini menunjukkan kecekapan barang elektrik tersebut dalam  menjimatkan tenaga.

Label yang mempunyai  taraf 1 bintang menunjukkan barang elektrik tersebut mempunyai kecekapan tenaga  yang rendah dan taraf 5 bintang menunjukkan barang tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang paling tinggi.

Setakat ini label tersebut boleh didapati pada barang elektrik tertentu seperti peti sejuk, pendingin hawa, televisyen dan kipas angin.

Pengguna boleh membuat pilihan dengan melihat kepada taraf bintang pada barang elektrik tersebut. Label ini juga boleh membantu pengguna  membuat perbandingan antara satu barang dengan barang yang lain.

Pengiraan kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk ditentukan melalui kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga.

Proses pengujian tersebut dijalankan oleh pihak SIRIM (Standards and Industrial Research Institute of Malaysia). Sekiranya pengujian tersebut lulus, maka Suruhanjaya Tenaga akan memberi pengiktirafan label kecekapan tenaga berdasarkan  taraf 1 hingga 5 bintang.

Standard adalah satu panduan yang mengariskan ciri-ciri keselamatan dan kualiti bagi sesuatu barang dan perkhidmatan.

Di Malaysia, satu jawatankuasa teknikal Performance of Household and Similar Electrical Appliances telah ditubuhkan bertujuan membangunkan standard berkaitan dengan kecekapan tenaga. Standard ini bertujuan menghasilkan barangan elektrik bagi kegunaan isi rumah yang cekap tenaga. 

Dokumen MS (Malaysian Standard) yang sedang dibangunkan ini akan membantu industri dan pengeluar untuk mematuhi ciri-ciri dan kriteria tertentu yang ditetapkan.

Di atas ialah serba sedikit tentang label tenaga. Label tenaga sebenarnya diwujudkan kerana bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran kepada pengguna bahawa betapa pentingnya penggunaan tenaga bagi alat-alat elektrik di rumah kita.